Sunday, 27 April 2014

Tafsir 6 : Surah Al Baqarah ayat 186

Tafsir 6 : Surah Al Baqarah ayat 186

TAFSIR 6 : ADAB BERDOA

﴿وَإذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنّي قَرِيْبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونِ ﴾
Surah Al Baqarah ayat 186

Terjemahan ayat :

Ertinya :
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu mendapat petunjuk (berada dalam kebenaran)


Huraian Ayat

Sebab turunnya ayat

Ayat ini turun berkenaan dengan datangnya seorang Arab Badawi kepada Nabi SAW yang bertanya: "Apakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kami dapat munajat/memohon kepada-Nya, atau jauh, sehingga kami harus menyeru-Nya?" Nabi SAW terdiam, hingga turunlah
ayat ini sebagai jawapan terhadap pertanyaan itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Marduwaih, Abussyaikh dan lain-lainnya dari beberapa jalan, dari Jarir bin Abdul Hamid, dari Abdah as-Sajastani, dari as-Shalt bin Hakim bin Mu'awiyah bin Jaidah, dari bapaknya yang bersumber dari datuknya.)

Menurut riwayat lain, ayat ini (S. 2: 186) turun sebagai jawapan terhadap beberapa shahabat yang bertanya kepada Nabi SAW: "Dimanakah Tuhan kita?" (Diriwayatkan oleh 'Abdurrazzaq dari Hasan, tetapi ada sumber-sumber lain yang memperkuatnya.
(Hadits ini mursal.)

Menurut riwayat lain, ayat ini (S. 2: 186) turun berkenaan dengan sabda Rasulullah SAW: "Janganlah kalian berkecil hati dalam berdoa, karena Allah SWT telah berfirman "Ud'uni astajib lakum" yang artinya berdoalah kamu kepada-Ku, pasti aku mengijabahnya (memperkenankannya. Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Wahai Rasulullah! Apakah Tuhan mendengar doa kita atau bagaimana?" Sebagai jawapannya, turunlah ayat ini.
(Diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakir yang bersumber dari Ali.) 

Menurut riwayat lain, setelah turun ayat "Wa qaala rabbukum ud'uni astajib lakum" yang artinya berdoalah kamu kepada-Ku, pasti aku mengijabahnya (S. 40: 60), para shahabat tidak mengetahui bilamana yang tepat untuk berdoa. Maka turunlah ayat ini (S. 2: 186)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari 'Atha bin abi Rabah.)

Sebab turunnya ayat, mengikut riwayat ibnu Abbas r.a. bahawa orang-orang Yahudi negeri Madinah telah berkata kepada Nabi Muhammad S.A.W.  mereka berkata : “Bagaimana Tuhan kita dapat mendengar doa kita sedang Tuan mendakwa bahawa jarak antara langit dengan kita 500 tahun perjalan dan tebal tiap-tiap lapisan langit seperti itu juga (500 tahun perjalan)”. Maka kemudian turunlah ayat ini sebagai menjawab pertanyaan mereka (orang-orang Yahudi).
Dan diceritakan pula bahawa sesetengah para sahabat bertanya kepada nabi Muhammad S.A.W., kata mereka “Adakah Tuhan kita itu dekat, maka kita rayu, atau jauh maka kita seru?”.  Ada pula yang bertanya : “Bilakah ketikanya kita berdoa kepada Tuhan kita?”. Maka Allah pun menurunkan ayat ini


Huraian seterusnya :

وَإذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي   
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku”

Ini membawa pengertian bahawa sekiranya seorang hamba bertanya tentang hal Allah, maka pertanyaan itu tidaklah terkeluar dari  tiga perkara iaitu samaada ia bertanya:-

·         Tentang Zat-Nya;
·         Tentang Sifat-Nya;
·         Tentang Perbuatan-Nya.

Sekiranya ia bertanya tentang zat-Nya bermakna menanyakan tentang jauh dekatnya. Sekiranya ia bertanya tentang sifat-Nya, bermakna ia menanyakan tentang adakah Tuhan mendengar permohonannya dan sekiranya ia bertanya tentang perbuatan-Nya, bermakna sepenanya menanyakan adakah Tuhan memperkenankan permohonannya. Maka hamba yang bertanyakan tentang Allah “ Wa izaa  saalaka ‘ibaadii ‘anni fa inni Qaariib"  adalah mengandungi maksud di dalam semua segi pertanyaan yang disebutkan tadi

 فَإِنّي قَرِيْبٌ
“maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat”

"Sesungguhnya aku hampir (dekat)": jawab Tuhan, yakni Allah mengetahui si pemohon dengan lebih hampir dan selalu ia di dalam pemeliharaannya, sehingga tak sesuatu pun luput dari pengetahuannya. Dengan demikian amat mudah sekali bagi Allah memperkenankan permohonannya, mengabulkan doanya dan menjayakan hajat serta cita-citanya.

Dari Abu Musa Al-Shaari dia berkata, "Manakala Rasulullah (s.a.w) menyerang ke negeri khibar atau katanya menuju khibar datanglah orang-orang ke sebuah lembah lalu dengan suara yang keras mereka bertakbir, maka bersabda Nabi (s.a.w):

" يَـا أيـُّهَا النَّاسُ أربعوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَلَكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِباً ، أَنـَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا بَصِيْرًا قَرِيْباً وَهُو مَعَكُمْ "

Ertinya: "Hai manusia! Kasihanilah dirimu (hentikanlah daripada bertempik sorak), kerana sesungguhnya kamu tiada memohon kepada Tuhan yang pekak dan yang tidak ada. Sesungguhnya kamu memohon kepada yang maha melihat lagi hampir dan dia (Allah) bersama kamu."

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إذَا دَعَانِ
"Aku perkenankan permohonan orang yang memohon kepadaku," kata Tuhan.

Maksud, hamba yang telah sedar, mahu berdoa kepada Tuhannya menandakan ia telah mengenal akan Tuhannya dan  dengan demikian adalah menjadi pengakuan bahawa dirinya sangat-sangat berhajat kepada-Nya dan pertolongan-Nya. Dia merayu Tuhannya dengan sepuas-puasnya dan seikhlas-ikhlasnya. Tuhan mendengar dan tiada akan mengecewakan permohonan sesiapa pun yang memohon kepada-Nya. Tetapi berdoa itu ada adab-adabnya, memohon itu ada cara-caranya, adab-adab dan cara-cara inilah menjadi pokok dan sebab musabab yang terpenting bagi termakbul doa seseorang. Kiranya sempurna doanya, adalah tergolong ia menjadi orang yang diperkenankan Tuhan permohonannya, kiranya tersalah, tiadalah akan diperkenankan-Nya. Sebagaimana firman Allah Ta’ala :-
فَلْيَسْتَجِبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونِ


 "Maka hendaklah mereka mengikut perintahku serta beriman kepadaku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk (kecerdikkan)."


Maksudnya, jika sekiranya Allah telah menyeru mereka supaya beriman dan percaya kepadanya, hendaklah segera mengikut perintah sebagaimana Tuhan perkenankan permohonannya, semoga dengan adanya keimanan itu mereka mendapat petunjuk, terpadu ke jalan kebajikan agama dan kebajikan dunia.

Orang yang diperkenankan doanya ialah orang yang yakin bahawa doanya diperkenan Allah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a) katanya: Bersabda Nabi (s.a.w):-

 " ادعوا الله وأنتم موقنون بالاجابة واعلموا أن الله تعالى لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه "

Ertinya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin diperkenankan, ketahuilah bahawasanya Allah Ta'ala tiada memperkenankan doa orang berhati lalai dan bermain-main.

Mengenai aturan orang berdoa, diantaranya sebagaimana yang diterangkan oleh hadis ini kira-kira ertinya:- dari fadhilat Bani 'Abid berkata: Rasulullah (s.a.w) telah mendengar seorang yang memohon dalam doanya dengan tidak membaca selawat ke atas nabi (s.a.w) maka sabda baginda, tergesa-gesa orang ini. Kemudian dipanggilnya dan bersabda baginda: "Jika berdoa salah seorang daripada kamu, mulakanlah dengan memuji Allah Ta'ala (baca Alhamdulillah) dan menyanjungnya. Kemudian selawat ke atas Nabi (s.a.w) kemudian barulah berdoa apa-apa yang dihajatinya."

Sebuah lagi hadith yang lain ertinya demikian:-
"Diperkenankan doa seseorang daripada kamu, selagi ianya tidak tergesa-gesa dan tidak pula berkata, aku telah berdoa kepada tuhanku tetapi tidak juga dikabulkan doaku."
Mudah-mudahan dengan panduan hadith-hadith tersebut dapat kita perbaiki cara-cara dan adab-adab berdoa dengan lebih baik.

DI ANTARA ADAB-ADAB BERDO’A

PERTAMA : ADAB KETIKA MEMULAKAN DO’A

Diantaranya, iaitu :-

(1)   Berwudhu.

(2)   Menghadap kiblat.

(3)   Sebaik-baik do’a dimulai dengan ( بسم الله الرحمن الرحيم ) .

(4)   Memuji kepada Allah seperti membaca ( الحمد لله رب العالمين ).

(5)   Bertasbih kepada Allah seperti (  سبحان رب العلى الوهاب  ).

(6)   Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dgn membaca ( اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد )

(7)   Permintaan ampun untuk diri sendiri, kedua ibu bapa seperti membaca
      (  رب اغفر لي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا  )




KEDUA : ADAB SEMASA /DALAM BERDO’A

(1)   Menghadirkan hati ( Hudurul Qalbi ) dengan penuh harap dan bersungguh-sungguh serta yakin dengan do’a yang dimintakan , dan penuh ketakutan akan di tolak .

(2)   Do’a diucapkan dengan penuh ikhlas, mendekatkan diri kepada Allah dan khusyu’ serta tawadhu dengan hati yang tenang dan tidak terlalu keras.

(3)   Do’a diucapkan dengan terang serta jelas dan diulang-ulang  terutama pada lafaz yang penting di sebut tiga kali.

(4)   Berdo’a dengan mengangkat kedua belah tangan dari permulaan do’a dan disapukan kemuka setelah do’a itu selesai diucapkan.


DO’A – DO’A YANG DITOLAK OLEH ALLAH TA’ALA

Sayidina Ibrahim bin Adham r.a. , seorang ahli Tasawwuf di tanya oleh orang ramai kepadanya sebab-sebab ditolak oleh Allah Ta’ala .

Jawab Sayidina Ibrahim bin Adham ada sepuluh sebab :


(1)         Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak tunaikan hak Allah .

(2)         Kamu membaca Al Qur’an tetapi kamu tidak mengamalkan dengannya .

(3)         Kamu mendakwa bahawa kamu cinta Rasulullah, tetapi kamu meninggalkan perbuatannya.

(4)         Kamu mendakwa bahawa Syaitan musuh kamu, tetapi kamu ta’at dan patuh kepada jalan-jalannya.

(5)         Kamu mendakwa bahawa masuk Syurga itu adalah benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.

(6)         Kamu mendakwa bahawa Neraka itu benar, tetapi kamu mencampakkan diri kamu di dalamnya.

(7)         Kamu berkata bahawa mati itulah benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya .

(8)         Kamu sibuk dengan keaiban ( keburukan ) saudara kamu , tetapi kamu tidak melihat keburukan kamu sendiri .

(9)         Kamu memakan nikmat Tuhan kamu, tetapi kamu lupa bersyukur dengan-Nya .

(10)    Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak jadikan pelajaran dari mereka.


DO’A DITOLAK OLEH ALLAH KERANA MAKANAN DAN MINUMAN YANG HARAM DAN TERGESA-GESA.


Sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Sayidina Sa’ad bin Waqqas pernah bertanya Rasulullah :

“Ya Rasulullah , aku memohon kepada Allah supaya do’a akan diterima oleh Allah , Jawab Rasulullah s.a.w. kepadanya:-
“Wahai Sa’ad perelokkan makanan mu nescaya Allah perkenankan permintaan mu . Demi diri Muhammad ditanganya sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan makanan ( walau sesuap sekalipun ) yang haram keperutnya , tiada diterima oleh Allah dari amalannya selama 40 hari. Mana-mana yang tumbuh dagingnya dari yang haram , maka api nerakalah lebih utama dengannya.””

Perlu diketahui juga, bahawa jangan sekali-kali menganggap Ijabah (jawapan) dari Allah terlambat atau lama :-

Diriwayatkan oleh Bukhari dari Abi Hurairah ra :- Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :- “ Doa seseorang akan dikabulkan asalkan doa tidak tergesa-gesa berkata “ Aku telah berdoa, tetapi belum juga dikabulkan”.


PENGAJARAN HADITH


1.      Berdoalah kepada Allah kerana doa itu merupakan ibadat dan senjata orang Islam.

2.      Mohonlah dengan nama Allah (Asmaul Husna) dan mohon dengan sesungguh-sungguhnya, kerana Allah Maha Mendengar segala permohonan hamba-Nya.

3.      Ketika berdoa biarlah ada adab-adabnya, sebaik-baiknya berwudhu, menghadap Qiblat, menutup aurat dan sebagainya, demi mengelak tertolaknya doa.

4.      Berdoalah dengan suara yang lembut dan bahasa yang elok dan jangan tergesa-gesa.

5.      Baca doa sebaik-baiknya dimulakan dengan Basmalah, Tahmid (memuji Allah) dan  Selawat ke atas Nabi, kerana doa yang tiada dimulakan dengan tahmid dan salawat umpama manusia yang tiada berkepala.





Soalan Peperiksaan ‘A’ Level

1.      Terjemahkan ayat-ayat di atas ke dalam Bahasa Melayu. ( 89, 97, 99, 2004 )

2.      Bincangkan pengaruh doa kepada orang-orang Islam. ( 89 )

3.      Doa adalah senjata orang Mukmin, jelaskan ( 97 )

4.      Bagaimanakah caranya supaya setiap doa itu diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala, dan jelaskan sebab-sebab doa ditolak. ( 97, 99 )

5.      Terangkan siapakah orang yang diperkenankan doanya dan bagaimanakah adab dan cara berdoa yang dianjurkan oleh Islam? (2004)

6.      Huraikan maksud potongan ayat : (2004)

أجيب دعوة الداع إذا دعان

7.      Berikan LIMA pengajaran daripada ayat yang tersebut di atas ( 89, 99 )

sumber : Copyright ©  http://www.gjoole.com/IS 2013

No comments:

Post a Comment